SOALAN LAZIM

S 1. Apakah Mesyuarat Jemaah Menteri (MJM)?
J 1. MJM ialah mesyuarat mingguan yang diadakan pada setiap Rabu mulai jam 9.30 pagi dan dihadiri oleh seramai 31 orang Ahli Jemaah Menteri.
S 2. Apakah Kertas Jemaah Menteri (KJM)?
J 2. Kertas Jemaah Menteri terdiri daripada Memorandum dan Nota Jemaah Menteri yang dikemukakan bagi pembentangan semasa Mesyuarat Jemaah Menteri.
S 3. Apakah Memorandum Jemaah Menteri?
J 3. Memorandum Jemaah Menteri ialah KJM yang dibentangkan untuk pertimbangan, keputusan dan persetujuan Jemaah Menteri.
S 4. Apakah Nota Jemaah Menteri?
J 4. Nota Jemaah Menteri ialah KJM yang dibentangkan untuk makluman atau perhatian Jemaah Menteri.
S 5. Apakah perkara yang memerlukan keputusan Jemaah Menteri (Memorandum)?
J 5. Perkara-perkara yang memerlukan keputusan adalah:
  • Dasar-dasar, perkara-perkara yang mempunyai implikasi kepada negara;
  • Urusan Parlimen dan Perlembagaan;
  • Cadangan penswastaan;
  • Laporan Jawatankuasa Kabinet;
  • Penglibatan/keahlian negara dalam organisasi antarabangsa;
  • Bantuan kepada negara asing;
  • Lawatan Anggota Pentadbiran ke luar negara;
  • Laporan bantuan badan berkanun (Telah Diaudit);
  • Pelantikan Duta Asing; dan
  • Lain-lain perkara yang diarahkan oleh Y.A.B. Perdana Menteri atau Jemaah Menteri.
S 6. Apakah format isi kandungan Memorandum Jemaah Menteri?
J 6. Format isi kandungan Memorandum pada dasarnya hendaklah mengandungi perkara-perkara berikut:
  1. TAJUK
  2. TUJUAN
  3. LATAR BELAKANG
  4. ASAS-ASAS PERTIMBANGAN
  5. IMPLIKASI
  6. KESIMPULAN
  7. ULASAN KEMENTERIAN/AGENSI PUSAT
  8. SYOR
S 7. Apakah perkara yang terkandung dalam TUJUAN Memorandum?
J 7. Tujuan Memorandum hendaklah JELAS DAN TEPAT dan ditumpukan kepada menerangkan tujuan Memorandum itu sahaja. Tujuan Memorandum boleh dibahagikan mengikut sub-sub perenggan jika difikirkan sesuai.
S 8. Apakah perkara yang terkandung dalam LATAR BELAKANG Memorandum?
J 8. Latar belakang hendaklah mengandungi maklumat penting untuk menjelaskan secara ringkas tetapi padat perkara-perkara yang dikemukakan. Fakta-fakta mengenai sesuatu perkara hendaklah dimasukkan dalam latar belakang tetapi tidak perlu diberi penilaian ke atasnya.
S 9. Apakah perkara yang terkandung dalam ASAS-ASAS PERTIMBANGAN Memorandum?
J 9. Asas-asas pertimbangan hendaklah dinyatakan selengkapnya dan disokong dengan hujah-hujah yang kukuh. Asas-asas pertimbangan boleh mengandungi maklumat tertentu dari latar belakang yang diolah mengikut penilaian penganjur atau penyedia Memorandum.
S 10. Berapa lamakah tempoh untuk kementerian/agensi pusat mengemukakan ulasan kepada Memorandum?
J 10. Tempoh mengemukakan ulasan ialah:
  • Keadaan biasa : 4 minggu
  • SEGERA/KEUTAMAAN : 2 minggu
S 11. Sekiranya Memorandum memerlukan ulasan segera, apakah tindakan yang perlu dilakukan oleh kementerian/agensi pusat?
J 11. Memorandum hendaklah ditandakan dengan perkataan "SEGERA/KEUTAMAAN" di muka surat pertama Memorandum/ Surat Iringan sebelum dihantar untuk mendapatkan ulasan.
S 12. Apakah bentuk SYOR Memorandum yang berkesan?
J 12. Bentuk SYOR Memorandum yang berkesan adalah:
  • Cadangan yang perlu diputuskan oleh Jemaah Menteri dinyatakan dengan jelas
  • Mengandungi hanya perkara-perkara untuk pertimbangan dan persetujuan sahaja
  • SAMA dengan TUJUAN MEMORANDUM
  • Boleh lebih terperinci berbanding TUJUAN
S 13. Adakah RINGKASAN diwajibkan bagi semua Memorandum dan Nota Jemaah Menteri?
J 13. RINGKASAN diwajibkan bagi Memorandum atau Nota yang panjangnya lebih daripada 6 muka surat. Pastikan RINGKASAN tersebut TIDAK melebihi 4 muka surat.
S 14. Apakah perkara-perkara untuk makluman Jemaah Menteri (Nota)?
J 14.
  • Maklum balas mengenai pelaksanaan sesuatu keputusan Jemaah Menteri yang lepas
  • Laporan lawatan Anggota Pentadbiran ke luar negara
  • Laporan mesyuarat atau rundingan antarabangsa hasil perbincangan dengan pemimpin asing
  • Laporan negara menjadi tuan rumah acara antarabangsa